ANUGERAH IMAM CEMERLANG DAN ANUGERAH BILAL CEMERLANG SEMPENA SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ TAHUN 1431 HIJRAH

Oleh : Zul, JHEM Sabtu, 10hb. Julai 2010 - Penganugerahan Imam Cemerlang dan Bilal Cemerlang sempena Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1431 Hijriah telah berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Berangkat ke majlis sambutan ini ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul 'Azim dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik. Juga berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah. Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1431 Hijriah. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an oleh Naib Johan Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Belia Asia Tenggara 2005 dan 2007, Awang Mohd. Fikri bin Haji Metussin dan disusuli dengan kesimpulan maknanya oleh Guru Hafaz Al-Qur'an Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Haji Mohd. Aliman bin Haji Salim. Dalam sembah alu-aluannya, Menteri Hal Ehwal Ugama antara lain menjelaskan mengenai tujuan Anugerah Imam Cemerlang dan Anugerah Bilal Cemerlang merupakan anugerah buat julung-julung kalinya diperkenalkan dan diharap akan menjadi motivasi supaya imam dan bilal di seluruh negara akan berusaha lebih gigih bagi memperbaiki dan meningkatkan lagi prestasi dan kualiti perkhidmatan masing-masing di negara ini. Sebagaimana yang dimaklumi, imam-imam dan bilal-bilal adalah dua tonggak utama masjid yang memainkan peranan penting dalam mengimarahkan masjid dan menyuburkan penghayatan beragama di negara ini. Majlis diserikan dengan ceramah khas sempena Sambutan Israk dan Mikraj Tahun 1431 Hijriah dari Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Ismail bin Haji Abdul Manaf. Permakluman Anugerah Imam Cemerlang dan Anugerah Bilal Cemerlang Tahun 1431 Hijriah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Abd. Kahar bin Haji Hussin. Yang Dimuliakan Pehin Khatib Awang Haji Mustafa bin Haji Murad dianugerahkan sebagai Imam Cemerlang dan Awang Haji Hamdini bin Haji Gharif dianugerahkan sebagai Bilal Cemerlang. Yang Dimuliakan Pehin Khatib Awang Haji Mustafa telah berkhidmat selama 27 tahun dalam hal ehwal masjid mulai 17 Mac 1983 sehingga sekarang dan kini bertugas di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong. Beliau telah disampiri gelaran Mudim pada tahun 1983 dan seterusnya dianugerahkan gelaran Yang Dimuliakan Pehin Khatib pada tahun 1996. Yang Dimuliakan juga pernah menjadi johan qari di Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun 1996 dan 1997. Dan seterusnya mewakili Negara Brunei Darussalam di Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur selama dua tahun berturut-turut. Sebagai penerima Anugerah Imam Cemerlang Tahun 1431 Hijriah, Yang Dimuliakan menerima wang tunai BND10,000, sijil penghargaan dan cenderamata iringan serta kemudahan perubatan percuma dalam Wad Kelas Satu di mana-mana hospital kerajaan di negara ini. Sementara Awang Haji Hamdini pula telah berkhidmat selama lapan tahun dalam hal ehwal masjid sebagai Bilal Tingkat I mulai tahun 2002 dan kini bertugas di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong. Tugasnya sebagai bilal tidak menghalangnya untuk bergiat aktif dalam mengungkayahkan program dan kegiatan keagamaan yang bertujuan bagi mengimarahkan masjid dan menyebarkan ilmu agama kepada masyarakat setempat. Selaku penerima Anugerah Bilal Cemerlang, beliau menerima wang tunai BND5,000, sijil penghargaan dan cenderamata iringan serta kemudahan perubatan percuma dalam Wad Kelas Satu di mana-mana hospital kerajaan di negara ini. Di majlis itu, Yang Dimuliakan Pehin Khatib Awang Haji Mustafa telah mempersembahkan bacaan surah Al-Fatihah dan surah Al 'Alaa manakala Awang Haji Hamdini mempersembahkan seruan azan. Kemudian Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para penerima anugerah tersebut. Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. Tema sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1431 Hijriah ialah 'Ilahi Selamatkan Brunei Darussalam'.
|