Lawatan Yang Berhormat Menteri Hal EHwal Ugama ke Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong
Isnin, 12 Julai. -Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Ugama meneruskan lagi siri lawatan kerja ke jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan mengadakan lawatan ke Pejabat Ugama Daerah Tutong dan bahagian-bahagian di bawahnya.
Lawatan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bermula di Masjid Baru Kampung Kiudang dan seterusnya ke Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong dengan di alu-alukan oleh Awang Haji Madzneh bin Haji Md. Noor, Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong,.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan, Jabatan Hal Ehwal Ugama pada awalnya hanya sebuah jabatan pada tahun 1986, dan kini telah dinaikkan tarafnya menjadi sebuah kementerian yang dikenali sebagai KHEU dalam Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan setentunya kita merasa bersyukur, bangga dan gembira atas perkembangan tersebut.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menambah tugas jabatan ini adalah untuk memperkukuh kementerian ini yang membesar dari semasa ke semasa, memperkemas dan mempertingkat kualiti serta imejnya dengan mengadakan pembaharuan, aktiviti yang kreatif dan berinovasi supaya ianya dilihat dinamik dan bersinar.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berharap lawatan ini akan menjadi satu titik permulaan atau 'mile stone' untuk sama-sama bergerak maju ke hadapan lebih cepat, kemas dan lebih efisen untuk mencapai visi, misi dan objektif KHEU bagi daerah ini dan Negara Brunei Darussalam.
Pada lawatan tersebut, Menteri Hal Ehwal Ugama juga mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong mengenai perkembangan jabatan ini. Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama kemudiannya membuat lawatan ke Masjid Hassanal Bolkiah, Bahagian Da'wah dan Bahagian Pengajian Islam seterusnya ke Mahad Islam Brunei bagi meninjau dan melihat lebih dekat lagi kemudahan-kemudahan yang terdapat di sekolah tersebut diantaranya ialah makmal ICT, perpustakaan, bilik mesyuarat dan kantin.
Turut serta dalam rombongan tersebut Yang Mulia Pengiran Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd. Mahdi bin POKDGSDDLU Awang Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Awang Haji Ismail bin Haji Abdul Manap, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam.
|