:

   B.Melayu | English | ﺏﺮﻋ  
7 Zulhijjah 1435 H | 2 Oktober 2014 M


         

         

         




         

7 Zulhijjah 1435 H
2 Oktober 2014 M



SEMPENA HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA

04hb Syaaban 1431H

SEMPENA HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan sebenar-benar takwa iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan yang demikian, mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dunia dan di akhirat.

Saudara-Saudara yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, 15hb Julai tahun ini iaitu semalam genaplah 64 tahun usia raja dan walil amri yang kita taati, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji 'Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ulangtahun keputeraan baginda itu, seperti yang sudah menjadi kelaziman, disambut dalam suasana kera'ian dan kesyukuran bagi yang khas dan yang am. 

Kera'ian itulah perayaannya dan kesyukuran itulah doa serta harapan bahawa rakyat sekalian, yang khas dan yang am, pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin, orang ramai rakyat dan penduduk di seluruh pelusuk negeri, bergembira sambil bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana melanjutkan usia baginda, dan mengekalkan baginda memerintah sepertimana yang sentiasa didoakan iaitu dilanjutkan usia, adil berdaulat menaungi nusa,  memimpin rakyat kekal bahagia.

Sesungguhnya Brunei tanah air kita ini telah diberkati oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan mempunyai raja yang memerintah turun-temurun. Dan sesungguhnya pemerintahan beraja itu adalah merupakan sebahagian daripada cara-cara kita umat Islam mengurus ehwal wilayah dan penduduk negeri kita sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat 55  surah an-Nur:

Tafsirnya: Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan kepada umat Nabi Muhammad yang beriman dan beramal saleh bahawa: -

Pertama : Allah akan menjadikan mereka sebagai khalifah-khalifah di bumi yakni mempunyai kerajaan atau pemerintahan, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka sebagai khalifah-khalifah yang berkuasa;

Kedua : Allah akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka;

Ketiga : Allah akan melimpahi mereka dengan rahmat keamanan setelah mereka mengalami ketakutan, huru-hara dan ancaman.

Syaratnya ialah : Mereka (umat Nabi Muhammad) hendaklah kekal sebagai umat yang beribadat kepada Allah dengan mentauhidkan-Nya, tidak mensyirikkan Allah, tunduk patuh kepada-Nya termasuklah dalam berkeluarga, bermasyarakat, berbangsa, berkerajaan dan bernegara.

Syukur Alhamdulillah. Janji-janji Allah itu ternyata telah dilimpahkan-Nya kepada Brunei sehingga menjadikan bangsa kita berwilayah dan berkerajaan turun-temurun dipimpin oleh raja-raja Islam yang memerintah selaku khalifah-khalifah.

Menerusi kepimpinan dan pemerintahan beraja Islam itu kita dapat memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Allah dengan menjadi bangsa yang taat beragama, memelihara dan memartabatkan agama, mentauhidkan Allah, tidak mensyirikkan-Nya, tidak menderhakai Allah, memelihara diri daripada kemurkaan-Nya - yang mana hasilnya ialah kita menikmati keamanan dan terlepas daripada ancaman dan ketakutan-ketakutan. Itulah Brunei Darussalam.

Seterusnya di bawah pemerintahan beraja Islam yang adil serta taatkan Allah dan raja itu adalah tampuk negara, melindungi rakyat jelata, menaungi nusa bangsa, memimpin rakyat menjadi bangsa yang beriman dan bertaqwa - yang kesemuanya itu telah menjadikan Brunei tanah air kita ini dilimpahi rezeki dari sumber-sumber yang tidak terduga berupa minyak dan gas dan hasil-mahsul lainnya, sesuai dengan firman Allah ayat 96 surah al-'Araaf:

Demikian itulah juga janji Allah kepada bangsa yang beriman dan bertaqwa: beriman dengan sesungguhnya sehingga teguh memelihara hubungan dengan Allah dan dengan sesama hamba Allah, bertaqwa dengan sesungguhnya sehingga berjaya menjadi bangsa yang kuat menghormati hak Allah dan hak sesama hamba Allah.

Daripada rezeki tersebut itulah Brunei dan rakyatnya telah dibangunkan. Brunei telah dimaju dan dikembangkan. Lihat sahajalah betapa negara mampu membelanjai keperluan bidang-bidang pendidikan, perubatan dan kesihatan. Betapa pula beberapa rancangan pembangunan dilaksanakan bagi mensejahterakan rakyat seperti dalam perkara perumahan dan pembangunan infrastruktur dengan tidak membebankan rakyat.

Kesemuanya itu adalah berkat kita sekalian, iaitu rakyat dan penduduk sentiasa bertaat setia kepada raja sebagai walil amri dalam berkerajaan dan bernegara. Berkat kita dan raja sentiasa bersatu hati berpadu tenaga menegakkan negara dan pemerintahan.

Maka sedemikian itulah kita bernegara dan berkerajaan. Kita sentiasa berpandukan ajaran Allah yang dengannya kita berhasil menegakkan pemerintahan yang adil berdaulat untuk sekalian rakyat dan penduduk, yang Islam dan bukan Islam. Dan kita sekalian - yang Islam dan bukan Islam - menjadi rakyat dan penduduk yang cintakan keamanan dan kesejahteraan sambil mencapai kemajuan dan menikmati kehidupan yang wajar di sebuah negara yang aman makmur iaitu Brunei Darussalam.

Inilah yang kita wajib kekalkan. Inilah yang kita akan wariskan kepada genersi keturunan kita yang mana mereka itulah yang akan kita amanahkan untuk mengekalkan Brunei Darussalam di masa hadapan: kekal sebagai sebuah negara berpemerintahan beraja yang adil berdaulat, aman makmur dan bahagia, kekal kukuh dan utuh sebagai negara yang bertuhankan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Saudara-Saudara yang berbahagia,

Sesungguhnya pemerintahan beraja yang adil berdaulat itu telahpun serasi dengan budaya Brunei yang teguh beragama dan manis beradat. Kerana itulah menurut falsafah pemerintahan beraja bagi Brunei, sebagaimana yang dimaktubkan dalam buku Adat Isti'adat DiRaja Brunei bahawa Raja (adalah) untuk rakyat dan rakyat (adalah) untuk Raja.

Maksud slogan kata-kata itu, sepertimana dihuraikan dalam buku tersebut dengan menyatakan bahawa: "Negara Brunei berdiri adalah dengan persatuan dan perpaduan hati rakyat yang telah menyerahkan kuasa diri masing-masing kepada Raja (Sultan) untuk menjadi hak negara berdasarkan Raja tidak boleh zalim dan Rakyat tidak boleh derhaka kepada Raja".

Falsafah pemerintahan beraja menurut adat Brunei sedemikian itu sangat bertepatan dengan ajaran Islam dalam perkara taatkan Allah dan Rasul-Nya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan taatkan ulil amri (orang-orang yang berkuasa) iaitu sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala, ayat 59 surah an-Nisaa' tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah kepada (Kitab) Allah (Al-Qur'an) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya".

Pengajaran daripada firman Allah dalam perkara mentaati Allah dan Rasul serta mentaati ulil amri itu telah menjadi aturan adab Islam.  Sesungguhnya adab dan aturan Islam dalam menentukan hubungan orang yang berkuasa memimpin dan memerintah dengan penasihat-penasihatnya dan seterusnya dengan rakyat jelata.

Pertama sekali semua mereka yakni pemimpin-pemimpin tertinggi yang memegang amanah kuasa memerintah bersama dengan penasihat-penasihat serta rakyat dan penduduk wajib mentaati Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mentaati Rasul-Nya Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam.

Kedua wajib ke atas penasihat-penasihat serta rakyat dan penduduk mentaati pemimpin tertinggi yang memerintah iaitu ulil amri dalam berkerajaan dan bernegara.

Demikian itulah aturan dan adab Islam.  Kemudian aturan dan adab Islam itu meresap menjadi adat turun-temurun yang terpakai dalam kehidupan bangsa kita, iaitu Raja (Sultan) dan pembesar-pembesar negara serta rakyat dan penduduk bersatu hati, berpadu tenaga menegakkan Brunei menjadi negara berdaulat dengan Raja (Sultan) menjadi pelindung yang berdaulat adil dan pembesar-pembesar serta rakyat dan penduduk sentiasa menjadi pendukung yang taat. Ketaatan mereka itu tidak berbelah bahagi.

Perkara yang sedemikian itu telah sebati dalam budaya kita. Ia terbukti dengan ketara betapa kita rakyat dan penduduk kasihkan raja, menjunjung tinggi kepimpinan baginda. Kita bersyukur kepada Allah kerana melanjutkan usia baginda, mengurniakan baginda dengan rahmat sihat sejahtera dan bahagia, mentaufiqkan hasrat dan usaha baginda untuk menjadikan  Brunei tanah air kita ini kekal aman makmur dan kita sekalian hidup sentosa.

Taatkan raja atau pemerintah itu adalah sumpah setia turun-temurun bangsa kita. Ianya sama dengan bai'ah iaitu pengakuan dan janji setia yang dibuat oleh beberapa kalangan atau kabilah untuk menjadi pengikut Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam pada permulaan Islam di Madinah.  Ia juga sama dengan bai'ah orang-orang Islam kepada Sayidina Abu Bakar as-Siddiq setelah beliau itu diangkat menjadi khalifah Islam dan umat Islam selepas Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam wafat. Dan begitu juga dengan beberapa bai'ah selepas itu antara umat Islam dengan khalifah-khalifah mereka dan pengganti-pengganti mereka sepanjang zaman.

Adapun bai'ah itu sangat penting kedudukannya. Ianya merupakan ikatan janji setia kepada pemimpin oleh orang-orang yang dipimpin. Hukumnya apabila telah dibuat wajib dipegang dan dikekalkan. Kalau tidak dipegang dan dikekalkan akan membawa bencana perpecahan. Oleh kerana itu ada keterangan hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim radhiallahu 'anhu bahawa barang siapa yang menarik tangannya daripada bertaat setia (derhaka) kepada pemimpinnya maka matinya adalah sama dengan keadaan mati orang jahiliyah.

Maka sumpah setia turun-temurun taatkan raja itu wajiblah dipegang dengan sentiasa menyuburkan serta mengukuhkannya menerusi pendidikan, menerusi asuhan, menerusi contoh tauladan dalam semua suasana dan keadaan. Ia wajib tidak sahaja menurut hukum adat bahkan wajib menurut hukum syara', turun-temurun, dari satu keturunan kepada keturunan penyambung, generasi demi generasi yang menyusul. Sekaliannya wajib berpegang teguh kepada sumpah setia itu demi kesinambungan pemerintahan beraja Islam yang adil berdaulat. Demi keamanan yang berpanjangan, yang akan membawa rahmat kesejahteraan kepada sekalian.

Saudara-saudara yang berbahagia,

Maka dalam menyambut dan merayakan Hari Keputeraan ke 64 tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji 'Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sekarang ini marilah kita ketarakan sumpah setia itu.

Kita ketarakannya dengan rasa gembira dan syukur sambil berdoa dan berusaha semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala sentiasa memberi kita kesedaran dan keinsafan untuk sentiasa memperteguh kesetiaan kepada raja selaku walil amri dalam berkerajaan dan bernegara sesuai dengan ajaran Allah Subhanhau wa Ta'ala dalam firman-Nya ayat 59 surah an-Nisaa' itu.

Perayaan tahun ini kita sambut dengan mengambil kira waktunya jatuh dalam bulan Sya'aban menjelang Ramadhan. Bulan-bulan suci untuk kita meningkatkan ibadat dan zikir kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Namun demikian kita sekalian, yang khas dan yang am, rakyat dan penduduk, yang Islam dan yang bukan Islam; masih boleh memeriahkannya. Kita semua, masih boleh sama-sama merayakannya dengan meriah dalam acara-acara yang telah disusun di seluruh negara, khasnya acara Junjung Ziarah yang merupakan tanda kasih rakyat kepada raja dan kasih raja kepada rakyat di mana acara sedemikian itu telah melekat dibibir-bibir dengan sebutan Acara Bersama Rakyat.

Itulah suatu acara yang akan menjadi ristaan zaman. Acara Peristiwa Raja Bersama Rakyat.

Demikianlah. Maka dalam sempena seluruh negara menyambut dan merayakan hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan, kita akhiri khutbah pertama ini dengan bertabaruk, dengan mengambil berkat firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang mengingatkan kita kepada gaya dan corak kepimpinan baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang mana corak dan gaya kepimpinan yang merupakan rahmat Allah kepada baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam itu telah jelas nyata menjadi ikutan yang baik dalam kepimpinan raja yang kita taati dan kasihi.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam suran Ali 'Imran ayat 159 tafsirnya :

"Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau (wahai Nabi Muhammad) telah berlemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikut-pengikutmu). Dan kalaulah engkau bersikap kasar serta keras hati (terhadap mereka), tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka dan pohonkanlah keampunan bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan permasalahan keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk berbuat sesuatu sesudah bermesyuarat) maka bertawakallah kepada Allah (melaksanakannya). Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal".


Masjid-Masjid Di Negara Brunei Darussalam
Kegiatan Institusi/Sekolah
Ceramah
Khutbah
Lawatan Rasmi
Anugerah Takmir Masjid
Anugerah Sekolah Ugama Tauladan

         





         



         


        Khutbah
Adab dan Tatatertib Berdoa

11hb Rabiulakhir 1426

ADAB DAN TATATERTIB BERDOA

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Mu'min ayat 60 yang tafsirannya:

"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohanan kamu."

Doa itu ialah ibadat dan doa itu juga adalah senjata orang mukmin. Allah Subhanahu Wataala memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya berdoa dan memohon kepada-Nya. Di samping itu pula, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri berpesan supaya kita berdoa bersungguh-sungguh. Berdoa itu adalah merupakan pengakuan seseorang hamba terhadap kekuasaan Allah Subhanahu Wataala dan suatu tanda keyakinan bahawa tiada tempat meminta tolong melainkan kepada Allah Subhanahu Wataala.

Oleh kerana itu di dalam Islam setiap perbuatan yang diperintahkan kepada kita untuk melakukannya ada doa-doanya, apabila hendak masuk ke tandas pun ada doanya, begitu juga apabila hendak keluar daripadanya. Berdoa adalah salah satu daripada keperluan bagi mendapat kekuatan, keyakinan, harapan, keberkatan, keredaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wataala dalam segala apa yang dilakukan. Orang yang tidak berdoa bererti menutup bagi dirinya berbagai-bagai kebaikan dan mendedahkan dirinya akan kemurkaan Allah Subhanahu Wataala.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Orang yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Allah murka kepadanya."(Riwayat Al-Imam At-Tirmizi).

Merujuk kepada hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mengatakan doa itu senjata orang mukmin, ini bermakna doa itu mempunyai kelebihan dan fadilat yang amat besar dan amat banyak, di mana melalui doa, keampunan dan rahmat akan diperolehi, manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar kerana jika Allah Subhanahu Wataala menghendaki dan memperkenankan doa hamba-Nya, tidak ada satu pun yang dapat menghalang kerana Allah Subhanahu Wataala tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya yang penuh dengan keikhlasan. Ingatlah berdoa juga boleh menghindarkan sesuatu bala, walaupun bala itu sudah merupakan Qadak (ketentuan Allah Subhanahu Wataala).

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menjelaskan dalam hadis Baginda yang bermaksud:

"Dari Sulaiman Radiallahuanhu katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada yang boleh menolak Qadak Allah kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan." (Riwayat Al-Imam At-Tirmizi).

Adalah menjadi adat dan kelaziman jika kita berkehendakkan sesuatu daripada seseorang, kita akan bersopan santun dan bertatatertib. Maka apatah lagi jika kita memohon dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala tentulah lebih dari itu. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-A'raaf ayat 55 yang tafsirannya:

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan suara perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas."

Oleh itu kita dituntut menjaga adab dan tatatertib berdoa agar doa itu dimakbulkan. Di antaranya ialah:

Pertama: Berwuduk dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji-muji nama Allah Subhanahu Wataala serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kedua: Berdoa mengadap kiblat dan mengangkat dua tangan dan menyapukan kedua tapak tangan ke muka setelah selesai berdoa.

Ketiga: Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan.

Keempat: Berdoa disertai dengan kerendahan hati, khusyuk dengan jiwa yang tulus ikhlas, merendahkan suara serta diiringi dengan perasaan takut akan azab Allah Subhanahu Wataala dan penuh harapan dengan limpah kurnia-Nya.

Kelima: Memastikan sumber rezeki seperti makanan, minuman dan pakaian adalah daripada yang halal.

Keenam: Apabila berdoa adalah afdal mengulang-ulang doa tiga kali dan tidak berputus asa serta jangan cepat menganggap doa tidak dimakbulkan.

Ketujuh: Janganlah berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya seperti perkara yang tidak munasabah dan mustahil. Adalah lebih utama berdoa dengan doa-doa yang masyhur yang datang daripada Al-Quran, sunnah dan para sahabat.

Kelapan: Doa-doa tersebut juga hendaklah bersifat umum, menyeluruh dan padat. Doa yang paling banyak dibaca oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ialah yang bermaksud:

"Ya Allah ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada api Neraka."

Elok juga diketahui bahawa barang siapa yang berdoa memohon kepada Allah Subhanahu Wataala pada satu per tiga akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardu, Allah Subhanahu Wataala menjanjikan akan memakbulkan doa dan permintaannya. Ini jelas sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari yang bermaksud: "Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tuhan kami Tabaraka Wataala turun tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu per tiga akhir waktu malam, Dia berfirman, barangsiapa yang berdoa kepada-Ku maka Aku akan mengabulkan baginya, barangsiapa meminta kepada-Ku maka Aku akan memberinya, barangsiapa memohon keampunan-Ku maka Aku mengampuninya."

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda lagi yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi yang maksudnya:

"Daripada Abi Umamah Radiallahuanha katanya: Telah ditanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Bilakah masanya doa yang lebih didengar (dimakbulkan)? Nabi menjawab: Doa tatkala satu per tiga terakhir malam dan sesudah sembahyang fardu."

Sebenarnya terdapat banyak lagi waktu-waktu dan tempat jika kita berdoa pada-Nya, doa akan mudah dan cepat dimakbulkan, di antaranya ialah malam Jumaat dan hari Jumaat, waktu di antara azan dan iqamah, ketika khatib duduk di antara dua khutbah, ketika sujud di dalam sembahyang, bulan Ramadan, pada Malam Qadar, Hari Arafah dan ketika mendengarkan kokokan ayam kerana pada ketika itu ayam sedang melihat Malaikat dan kita mengharapkan agar Malaikat mengaminkan doa kita. Begitu juga ketika minum air zamzam, ketika membaca Al-Quran terutama apabila khatam. Mengikut para ulama bahawa berdoa di tempat-tempat yang mulia seperti di Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjidilqsa adalah mustajab memandangkan keberkatan dan kemuliaannya, di samping rahmat Allah Subhanahu Wataala yang luas di masjid berkenaan.

Berdoa bukanlah hanya untuk diri sendiri sahaja, tetapi kita juga dituntut mendoakan orang lain terutamanya ibu bapa, anak-anak, ahli keluarga, saudara mara, Muslimin dan Muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Ibu bapa adalah orang yang paling utama didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa kerana memelihara dan mendidik di waktu kecil. Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapanya adalah besar manfaatnya, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia. Begitulah pula halnya dengan ibu bapa, digalakkan supaya mendoakan anak-anak mereka seperti mana Nabi Ibrahim Alaihissalam mendoakan anaknya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaaffat ayat 100 yang tafsirannya:

"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang yang salih."

Hindarkanlah diri kita daripada berbuat zalim dan menganiaya orang lain, kerana doa orang yang dizalimi itu sangat mustajab, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari maksudnya: "Dari Ibnu Abbas Radiallahuanhuma katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya doa orang yang dizalimi itu tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding."

Sebagai orang Islam, marilah sama-sama kita memperbanyakkan doa, kerana doa itu menunjukkan kita taat dan ingat Allah Subhanahu Wataala. Ingat di setiap masa baik di kala senang mahupun susah, di kala kaya ataupun miskin. Percayalah janji Allah Subhanahu Wataala sebagaimana maksud firman-Nya:"Berdoalah kamu kepada- Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu."

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 186 yang tafsirannya:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."